Thursday, 24 August 2017

Cara Elak Bergaduh Sebab Harta

''Hiasan Semata-mata''

Untuk makluman pembaca sekalian, artikal ini ditulis oleh  SALKUKHAIRI ABD SUKOR. Sekiranya ada pertayaan atau ada kekeliruan sila bertanya kepada beliau.

BAGAIMANA NAK ELAK DARIPADA BERGADUH SEBAB HARTA? INI JALAN PENYELESAIANNYA.

Berdasarkan pengalaman saya, kebanyakan kes perbalahan harta sesama adik beradik dan ahli keluarga ni fakta dan cerita nya lebih kurang sama sahaja.

Antaranya:

  1. Ayah dan kawannya kongsi beli tanah pertanian. Tapi dalam geran letak nama kawan ayah seorang. Bila ayah dan kawan ayah meninggal, mak bagitahu tanah tu ayah korang punya juga. Cuma masa beli hari tu letak nama kawan dia sorang sahaja sebab pejabat tanah kata tak boleh letak dua nama. Maka berebut-rebutlah anak-anak si ayah nak tuntut hak mereka sebab tanah tu kononnya tanah pusaka arwah ayah mereka juga.
  2. Ayah ada tanah. Masa hidup, ayah cakap pada anak-anak, tanah ni ayah nak kasi pada semua anak-anak ayah. Tetapi memandangkan anak-anak lain masa tu masih kecil, ayah pun pindah milikkan tanah tu pada abang long dengan harapan abang long nanti pandai-pandai lah kongsi dengan adik beradik yang lain. Selepas ayah meninggal, abang long buat tanah tu macam tanah dia sorang. Adik beradik lain pun tak puas hati dan nak tuntut hak masing-masing.
  3. Ayah izikan kawan dia menumpang di tanah nya. Kawannya pun buat rumah atas tanah tersebut. Atas dasar kesian sebab dah anggap kawannya tu macam adik beradik, dia pun pindah milik kan 1/2 bahagian tanah tu kepada kawannya. Selepas kawannya meninggal, ayahpun naklah semua tanah tu sebab ayah kata tanah tu miliknya. Ayah mintak anak-anak kawannya serahkan balik tanah tu kepadanya. Tetapi anak-anak kawannya enggan sebab mereka kata tanah tu tanah pusaka ayah mereka juga. Jadi mereka ada hak. Anak-anak si ayah pun tak puas hati juga. Maka bergaduh lah 2 buah keluarga.
  4. Ayah ada 10 orang anak. Bila ayah meninggal, tanah tu diturunmilik kepada semua anak-anak. Ada di kalangan anak-anak nak buat rumah atas tanah tu dan nak gadaikan tanah tu kepada bank untuk dapatkan loan. Tetapi ada adik beradik lain tak benarkan. Anak yang nak buat loan tadi tak puas hati. Maka berbalah sama-sama mereka.
  5. Tanah ada 5 nama pemilik. Kesemuanya adik beradik. 2 orang nak jual dan buat pecah bahagian. Tetapi yang lain tak nak jual dan tak nak buat pecah bahagian. Akhirnya bergaduh sesama mereka.
Saya akan bahagikan jawapan terhadap masalah-msalah di atas kepada 3 bahagaian:
  1. Punca kenapa masalah tersebut berlaku.
  2. Penyelesaian dalam jangka masa pendek untuk mengatasi masalah tersebut yang telah berlaku.
  3. Langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan masalah tersebut daripada berlaku.
Huraian:

1. Punca kenapa masalah tersebut berlaku.
  • a) Tiadanya proper documentations dalam setiap urusan hartanah yang dilakukan. Kebanyakannya hanya dibuat secara lisan dan atas dasar percaya semata-mata. Mungkin juga mereka tidak dapatkan legal advice yang tepat dan rasmi daripada peguam hartanah yang berpengalaman.
  • b) Tiadanya persepakatan sesama pihak "beneficiaries" untuk menyelesaikan perkara tersebut secara baik. Mungkin juga disebabkan tiada pihak yang mahu berkompromi atau semuanya ingin mempertahankan hak dan kepentingan masing-masing.
  • c) Kegagalan pihak yang diberikan tanggungjawab dan amanah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik.
  • d) Kegagalan melaksanakan tindakan dan prosedur yang sepatutnya mengikut undang-undang untuk mengesahkan hak dan bahagian masing-masing. Mungkin juga disebabkan oleh faktor kos untuk melaksanakannya.

2. Penyelesaian dalam jangka masa pendek untuk mengatasi masalah tersebut yang telah berlaku.
Antara tindakan jangka masa pendek yang boleh dilakukan sekiranya masalah tersebut telah berlaku adalah:
  • a) Jika penyelesaian secara bersama menemui jalan buntu, pihak-pihak terbabit boleh merujuk kes tersebut kepada mediator untuk penyelesaian secara kaedah mediasi. Kaedah penyelesaian secara mediasi ini lebih informal, cepat dan menjimatkan kos. Yang paling penting ianya dapat mengelakkan pergaduhan yang lebih besar sesama ahli keluarga kerana penyelesaian yang dibuat kelak akan mengambil kira kepentingan semua pihak tanpa memfokuskan sepenuhnya kepada isu perundangan semata-mata. Keputusan yang dibuat oleh mediator adalah mengikat pihak-pihak sama seperti keputusan yang dibuat oleh Mahkamah.
  • b) Seandainya masih tidak menemui jalan penyelesaian, pihak-pihak terpaksalah memfailkan tindakan sivil di mahkamah untuk mendapatkan pengesahan mahkamah tentang hak-hak masing-masing bersabitan dengan kes tersebut. Perintah mahkamah tadi akan mengikat pihak-pihak yang terbabit mahupun pihak berkuasa untuk melaksanakan dan menguatkuasakannya sebagaimana yang telah diputuskan oleh mahkamah tersebut. Cuma melalui prosiding mahkamah ini memerlukan pihak-pihak mengemukakan bukti bukti yang berkaitan untuk menguatkan tuntutan tersebut. Mahkamah hanya terikat untuk membuat keputusan berdasarkan bukti-bukti yang berjaya dikemukakan di mahkamah dan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada. Walau bagaimanapun mahkamah boleh melaksanakan prinsip ekuiti (kesaksamaan) dalam membuat sesuatu keputusan untuk kes tersebut. Untuk prosedur tindakan sivil yang lebih tepat dan terperinci untuk sesuatu kes tersebut, sila dapatkan proper legal advice daripada peguam litigasi yang berpengalaman.

3. Langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan masalah tersebut daripada berlaku. Antara langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan masalah di atas berlaku kepada anda adalah:
  • a) Dapatkan nasihat perundangan yang rasmi daripada peguam hartanah sebelum anda ingin melaksanakan sesuatu urusan berkaitan hartanah anda.
  • b) Pastikan ianya dibuat secara proper mengikut undang-undang yang ditetapkan.
  • c) Pastikan ada dokumen secara bertulis yang boleh melindungi hak dan kepentingan masing-masing berkaitan dengan urusan hartanah yang ingin dilakukan seperti perjanjian jual beli, perjanjian sewaan, surat ikatan amanah, suratcara hibah, surat cara serahan hak dan lain-lain lagi. Untuk tujuan tersebut sila dapatkan nasihat perundangan yang lebih tepat dan rasmi daripada peguam hartanah yang berpengalaman.
  • d) Jika ingin menyerahkan tanah kepada mana-mana pihak, pastikan ianya disusuli dengan pindah milik. Ini kerana undang-undang hanya mengiktiraf hak dan kepentingan sesuatu pihak jika namanya telah didaftarkan sebagai pemilik berdaftar dalam suratan hakmilik tanah.
  • e) Untuk mengesahkan bahagaian masing-masing di atas sesuatu tanah yang tidak dipecahbahagi, cara terbaik adalah dengan melakukan pecah bahagian. Walau bagaimanapun ianya tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur yang berkaitan dengan urusan pecah bahagian tersebut dan sudah pasti melibatkan kos yang tertentu. Pun begitu, cara tersebut adalah cara yang paling baik dan selamat.
  • f) Jika perlu lantik seorang pemegang amanah, pastikan pemegang amanah tersebut adalah seorang yang jujur, bertanggungjawab dan mampu melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Boleh sahaja dilantik pemegang amanah itu lebih daripada seorang demi untuk menjaga kepentingan benefeciaries.
  • g) Pastikan anda faham dan yakin dengan sesuatu tindakan yang anda ingin buat berkaitan hartanah anda. Jangan hanya sekadar ikut-ikut atau dengar cakap orang lain dalam tindakan yang anda ingin buat berkaitan dengan hartanah anda. Dapatkan nasihat yang tepat daripada pihak yang berautoriti sebelum membuat sesuatu tindakan. Jangan buat dulu, selepas timbul masalah baru hendak rujuk kepada pihak yang berautoriti. Jika masalah sudah berlaku, mustahil ianya boleh diselesaikan dalam sekelip mata.
  • h) Dan yang paling penting sekali, cubalah bersepakat dalam perkara berkaitan harta terutamanya harta yang anda perolehi secara pewarisan. Anda patut bersyukur kerana dapat harta "secara terpijak" daripada orang lain. Janganlah tamak dan berlaku zalim dalam urusan harta. Kerana orang yang zalim, tamak dan tidak amanah itu tempat mereka hanyalah di neraka.
Jangan jadikan harta itu fitnah kepada anda. Sebaliknya jadikan lah harta itu satu amanah untuk anda mencari tempat di Jannah. Insya Allah.
Wallahuaklam.

Sekian, terima kasih.
SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

No comments:

Post a Comment